KISAH NABI ADAM
Setelah
Allah s.w.t. menciptakan bumi dengan
gunung-gunungnya,laut-lautannya dan tumbuh-tumbuhannya, menciptakan langit
dengan mataharinya, bulan dan bintang-bintangnya yang bergemerlapan menciptakan
malaikat-malaikatnya ialah sejenis makhluk halus yangdiciptakan untuk beribadah
menjadi perantara antara Zat Yang Maha Kuasa
dengan hamba-hamba terutama para rasul dan nabinya maka tibalah kehendak Allah s.w.t. untuk menciptakan sejenis makhluk
lain yang akan menghuni dan mengisi bumi memeliharanya menikmati
tumbuh-tumbuhannya, mengelola kekayaan yang terpendam di dalamnya dan
berkembang biak turun-temurun waris-mewarisi sepanjang masa yang telah
ditakdirkan baginya.
Kekhuatiran Para Malaikat
Para
malaikat ketika diberitahukan oleh Allah s.w.t. akan
kehendak-Nya menciptakan makhluk lain
itu, mereka khuatir kalau-kalau kehendak Allah
s.w.t. menciptakan makhluk yang lain itu, disebabkan kecuaian atau
kelalaian mereka dalam ibadah dan menjalankan tugas atau kerana pelanggaran
yang mereka lakukan tanpa disedari. Berkata mereka kepada Allah s.w.t.:"Wahai Tuhan kami! Buat apa Tuhan menciptakan makhluk lain selain kami,
padahal kami selalu bertasbih, bertahmid, melakukan ibadah dan mengagungkan
nama-Mu tanpa henti-hentinya, sedang
makhluk yang Tuhan akan ciptakan dan
turunkan ke bumi itu, nescaya akan bertengkar satu dengan lain, akan saling
bunuh-membunuh berebutan menguasai kekayaan alam yang terlihat diatasnya dan
terpendam di dalamnya, sehingga akan terjadilah kerosakan dan kehancuran di
atas bumi yang Tuhan ciptakan itu."
Allah s.w.t. berfirman
untuk menghilangkan kekhuatiran para malaikat itu:
"Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Aku sendirilah yang
mengetahui hikmat penguasaan Bani Adam atas bumi-Ku. Bila Aku
telah menciptakannya dan meniupkan roh kepada
nya,bersujudlah kamu di hadapan makhluk baru itu sebagai penghormatan dan bukan
sebagai sujud ibadah, kerana Allah s.w.t. melarang hamba-Nya beribadah kepada sesama makhluk-Nya."
Kemudian
diciptakanlah Adam oleh Allah s.w.t. dari
segumpal tanah liat,kering dan lumpur hitam yang berbentuk. Setelah
disempurnakan bentuknya ditiupkanlah roh ciptaan Tuhan
ke dalamnya dan berdirilah ia tegak menjadi manusia yang sempurna
Iblis Laknatullah Membangkang.
Iblis
laknatullah membangkang dan enggan mematuhi perintah Allah s.w.t. seperti para malaikat yang lain, yang segera
bersujud di hadapan Adam sebagai penghormatan bagi makhluk Allah s.w.t. yang akan diberi amanat menguasai
bumi dengan segala apa yang hidup dan tumbuh di atasnya serta yang terpendam di
dalamnya. Iblis laknatullah merasa dirinya lebih mulia, lebih utama dan lebih
agung dari Adam, kerana ia diciptakan dari unsur api, sedang Adam dari tanah
dan lumpur. Kebanggaannya dengan asal usulnya menjadikan ia sombong dan merasa
rendah untuk bersujud menghormati Adam seperti para malaikat yang lain,
walaupun diperintah oleh Allah s.w.t..
Allah s.w.t. bertanya
kepada Iblis laknatullah:"Apakah yang
mencegahmu sujud menghormati sesuatu yang telah Aku
ciptakan dengan tangan-Ku?"
Iblis
laknatullah menjawab:"Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul dari dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya
dari lumpur."Kerana kesombongan, kecongkakan dan pembangkangannya
melakukan sujud yang diperintahkan, maka Allah
s.w.t. menghukum Iblis laknatullah dengan mengusir dari syurga dan
mengeluarkannya dari barisan malaikat dengan disertai kutukan dan laknat yang
akan melekat pada dirinya hingga hari kiamat. Di samping itu ia dinyatakan
sebagai penghuni neraka.
Iblis
laknatullah dengan sombongnya menerima dengan baik hukuman Tuhan itu dan ia hanya mohon agar kepadanya
diberi kesempatan untuk hidup kekal hingga hari kebangkitan kembali di hari
kiamat. Allah s.w.t. meluluskan
permohonannya dan ditangguhkanlah ia sampai hari kebangkitan, tidak berterima kasih
dan bersyukur atas pemberian jaminan itu, bahkan sebaliknya ia mengancam akan
menyesatkan Adam, sebagai sebab terusirnya dia dari syurga dan dikeluarkannya
dari barisan malaikat, dan akan mendatangi anak-anak keturunannya dari segala
sudut untuk memujuk mereka meninggalkan jalan yang lurus dan bersamanya
menempuh jalan yang sesat, mengajak mereka melakukan maksiat dan hal-hal yang
terlarang, menggoda mereka supaya melalaikan perintah-perintah agama dan
mempengaruhi mereka agar tidak bersyukur dan beramal soleh.
Kemudian
Allah s.w.t. berfirman kepada Iblis
laknatullah yang terkutuk itu:
"Pergilah engkau bersama pengikut-pengikutmu
yang semuanya akan menjadi isi neraka Jahanam dan bahan bakar neraka. Engkau
tidak akan berdaya menyesatkan hamba-hamba-Ku yang telah beriman kepada Ku dengan sepenuh hatinya dan memiliki aqidah yang mantap yang
tidak akan tergoyah oleh rayuanmu walaupun engkau menggunakan segala
kepandaianmu menghasut dan memfitnah."
Pengetahuan Adam Tentang Nama-Nama Benda.
Allah s.w.t. hendak
menghilangkan anggapan rendah para malaikat terhadap Adam dan menyakinkan
mereka akan kebenaran hikmat-Nya
menunjuk Adam sebagai penguasa bumi, maka diajarkanlah kepada Adam nama-nama
benda yang berada di alam semesta, kemudian diperagakanlah benda-benda itu di
depan para malaikat seraya: "Cubalah
sebutkan bagi-Ku
nama benda-benda itu, jika kamu benar merasa lebih mengetahui dan lebih
mengerti dari Adam."
Para malaikat tidak berdaya memenuhi tentangan Allah s.w.t. untuk menyebut nama-nama benda yang
berada di depan mereka. Mereka mengakui ketidaksanggupan mereka dengan berkata:
"Maha Agung Engkau! Sesungguhnya
kami tidak memiliki pengetahuan tentang sesuatu kecuali apa yang Tuhan ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana."
Adam
lalu diperintahkan oleh Allah s.w.t.
untuk memberitahukan nama-nama itu kepada para malaikat dan setelah
diberitahukan oleh Adam, berfirmanlah Allah s.w.t.kepada
mereka: "Bukankah Aku telah katakan padamu
bahawa Aku
mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa
yang kamu sembunyikan."
Adam Menghuni Syurga.
Adam
diberi tempat oleh Allah s.w.t. di
syurga dan baginya diciptakanlah Hawa untuk mendampinginya dan menjadi teman
hidupnya, menghilangkan rasa kesepiannya dan melengkapi keperluan fitrahnya
untuk mengembangkan keturunan. Menurut cerita para ulamat Hawa diciptakan oleh Allah s.w.t. dari salah satu tulang rusuk Adam
yang disebelah kiri diwaktu ia masih tidur sehingga ketika ia terjaga, ia
melihat Hawa sudah berada di sampingnya lalu ia ditanya oleh malaikat:
"Wahai Adam! Apa dan siapakah makhluk yang berada di sampingmu itu?"
Berkatalah Adam: "Seorang perempuan." Sesuai dengan fitrah yang telah
diilhamkan oleh Allah s.w.t. kepadanya.
"Siapa namanya?" tanya malaikat lagi. "Hawa", jawab Adam.
"Untuk apa Tuhan menciptakan
makhluk ini?" tanya malaikat lagi. Adam menjawab: "Untuk
mendampingiku, memberi kebahagian bagiku dan mengisi keperluan hidupku sesuai
dengan kehendak Allah s.w.t.."
Allah s.w.t. berpesan
kepada Adam: "Tinggallah engkau bersama
isterimu di syurga, rasakanlah kenikmatan yang berlimpah-limpah didalamnya,
rasailah dan makanlah buah-buahan yang lazat yang terdapat di dalamnya sepuas
hatimu dan sekehendak nasfumu. Kamu tidak akan mengalami atau merasa lapar,
dahaga ataupun letih selama kamu berada di dalamnya. Akan tetapi Aku ingatkan janganlah makan
buah dari pohon ini yang akan menyebabkan kamu celaka dan termasuk orang-orang
yang zalim. Ketahuilah bahawa Iblis itu adalah musuhmu dan musuh isterimu, ia
akan berusaha membujuk kamu dan menyeret kamu keluar dari syurga sehingga
hilanglah kebahagiaan yang kamu sedang nikmat ini."
Iblis Mulai Beraksi.
Sesuai
dengan ancaman yang diucapkan ketika diusir oleh Allah
s.w.t. dari syurga akibat bangkangannya dan terdorong pula oleh rasa
iri hati dan dengki terhadap Adam yang menjadi sebab sampai ia terkutuk dan
terlaknat selama-lamanya tersingkir dari singgahsana kebesarannya. Iblis
laknatullah mulai menunjukkan rancangan penyesatannya kepada Adam dan Hawa yang
sedang hidup berdua di syurga yang tenteram, damai dan bahagia.
Ia
menyatakan kepada mereka bahawa ia adalah kawan mereka dan ingin memberi
nasihat dan petunjuk untuk kebaikan dan mengekalkan kebahagiaan mereka. Segala
cara dan kata-kata halus digunakan oleh Iblis laknatullah untuk mendapatkan
kepercayaan Adam dan Hawa bahawa ia betul-betul jujur dalam nasihat dan
petunjuknya kepada mereka. Ia membisikan kepada mereka bahwa larangan Allah s.w.t. kepada mereka memakan buah-buah yang
ditunjuk itu adalah kerana dengan memakan buah itu mereka akan menjelma menjadi
malaikat dan akan hidup kekal. Diulang-ulangilah bujukannya dengan menunjukkan
akan harumnya bau pohon yang dilarang indah bentuk buahnya dan lazat rasanya. Sehingga
pada akhirnya termakanlah bujukan yang halus itu oleh Adam dan Hawa dan
dilanggarlah larangan Allah s.w.t.
Allah s.w.t. mencela
perbuatan mereka itu dan berfirman yang bermaksud: "Tidakkah Aku mencegah kamu mendekati pohon itu dan memakan dari buahnya
dan tidakkah Aku telah ingatkan kamu bahawa syaitan itu adalah musuhmu yang nyata."
Adam
dan Hawa mendengar firman Allah s.w.t.
itu sedarlah ia bahawa mereka telah terlanggar perintah Allah s.w.t. dan bahawa mereka telah melakukan
suatu kesalahan dan dosa besar. Seraya menyesal berkatalah mereka: "Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami
sendiri dan telah melanggar perintah-Mu
kerana terkena bujukan Iblis. Ampunilah dosa kami kerana nescaya kami akan
tergolong orang-orang yang rugi bila Engkau
tidak mengampuni dan mengasihi kami."
Adam dan Hawa Diturunkan Ke Bumi.
Allah s.w.t. telah
menerima taubat Adam dan Hawa serta mengampuni perbuatan pelanggaran yang
mereka telah lakukan hal mana telah melegakan dada mereka dan menghilangkan
rasa sedih akibat kelalaian peringatan Allah s.w.t.
tentang Iblis laknatullah sehingga terjerumus menjadi mangsa bujukan
dan rayuannya yang manis namun berancun itu.
Adam
dan Hawa merasa tenteram kembali setelah menerima pengampunan Allah s.w.t. dan selanjutnya akan menjaga jangan
sampai tertipu lagi oleh Iblis laknatullah dan akan berusaha agar pelanggaran
yang telah dilakukan dan menimbulkan murka dan teguran Allah s.w.t. itu menjadi pengajaran bagi mereka
berdua untuk lebih berhati-hati menghadapi tipu daya dan bujukan Iblis yang
terlaknat itu. Harapan untuk tinggal terus di syurga yang telah pudar kerana
perbuatan pelanggaran perintah Allah s.w.t.,
hidup kembali dalam hati dan fikiran Adam dan Hawa yang merasa kenikmatan dan
kebahagiaan hidup mereka di syurga tidak akan terganggu oleh sesuatu dan bahawa
redha Allah s.w.t. serta rahmatNya akan tetap melimpah di atas mereka untuk
selama-lamanya. Akan tetapi Allah s.w.t.
telah menentukan dalam takdir-Nya apa
yang tidak terlintas dalam hati dan tidak terfikirkan oleh mereka.Allah s.w.t. yang telah menentukan dalam takdir-Nya bahawa bumi yang penuh dengan kekayaan untuk
dikelolanya, akan dikuasai kepada manusia keturunan Adam memerintahkan Adam dan
Hawa turun ke bumi sebagai benih pertama dari hamba-hambanya yang bernama
manusia itu. Berfirmanlah Allah s.w.t.
kepada mereka:"Turunlah kamu ke bumi
sebahagian daripada kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kamu dapat
tinggal tetap dan hidup disana sampai waktu yang telah ditentukan."
Turunlah Adam dan Hawa ke bumi menghadapi cara hidup baru yang jauh berlainan
dengan hidup di syurga yang pernah dialami dan yang tidak akan berulang
kembali. Mereka harus menempuh hidup di dunia yang fana ini dengan suka dan
dukanya dan akan menurunkan umat manusia yang beraneka ragam sifat dan
tabiatnya berbeza-beza warna kulit dan kecerdasan otaknya. Umat manusia yang
akan berkelompok-kelompok menjadi suku-suku dan bangsa-bangsa di mana yang satu
menjadi musuh yang lain saling bunuh-membunuh aniaya-menganianya dan
tindas-menindas sehingga dari waktu ke waktu Allah
s.w.t. mengutus nabi-nabi-Nya
dan rasul-rasul-Nya memimpin
hamba-hamba-Nya ke jalan yang lurus
penuh damai kasih sayang di antara sesama manusia jalan yang menuju kepada
redha-Nya dan kebahagiaan manusia di
dunia dan akhirat.
Kisah Adam dalam Al-Quran.
Al-Quran
menceritakan kisah Adam dalam beberapa surah di antaranya surah Al-Baqarah ayat
30 sehingga ayat 38 dan surah Al-A'raaf ayat 11 sehingga 25
Pengajaran Yang Terdapat Dari Kisah Adam.
Bahawasanya
hikmah yang terkandung dalam perintah-perintah dan larangan-larangan Allah s.w.t. dan dalam apa yang diciptakannya
kadangkala tidak atau belum dapat dicapai oleh otak manusia bahkan oleh
makhluk-Nya yang terdekat sebagaimana telah
dialami oleh para malaikat tatkala diberitahu bahawa Allah s.w.t. akan menciptakan manusia - keturunan Adam untuk
menjadi khalifah-Nya di bumi sehingga
mereka seakan-akan berkeberatan dan bertanya-tanya mengapa dan untuk apa Allah s.w.t. menciptakan jenis makhluk lain
daripada mereka yang sudah patuh rajin beribadat, bertasbih, bertahmid dan
mengagungkan nama-Nya.
Bahawasanya
manusia walaupun ia telah dikurniakan kecergasan berfikir dan kekuatan fizikal
dan mental ia tetap mempunyai beberapa kelemahan pada dirinya seperti sifat
lalai, lupa dan khilaf. Hal mana telah terjadi pada diri Nabi Adam yang
walaupun ia telah menjadi manusia yang sempurna dan dikurniakan kedudukan yang
istimewa di syurga ia tetap tidak terhindar dari sifat-sifat manusia yang lemah
itu. Ia telah lupa dan melalaikan peringatan Allah
s.w.t. kepadanya tentang pohon terlarang dan tentang Iblis
laknatullah yang menjadi musuhnya dan musuh seluruh keturunannya, sehingga
terperangkap ke dalam tipu daya dan terjadilah pelanggaran pertama yang
dilakukan oleh manusia terhadap larangan Allah
s.w.t..
Bahawasanya
seseorang yang telah terlanjur melakukan maksiat dan berbuat dosa tidaklah ia
sepatutnya berputus asa dari rahmat dan ampunan Allah
s.w.t. asalkan ia sedar akan kesalahannya dan bertaubat tidak akan
melakukannya kembali. Rahmat Allah s.w.t.
dan maghfirah-Nya dapat mencakupi segala
dosa yang diperbuat oleh hamba-Nya
kecuali syirik, walau bagaimana pun besar dosa itu asalkan diikuti dengan
kesedaran bertaubat dan pengakuan kesalahan. Sifat sombong dan congkak selalu
membawa akibat kerugian dan kebinasaan. Lihatlah Iblis laknatullah yang turun
dari singgahsananya dilucutkan kedudukannya sebagai seorang malaikat dan diusir
oleh Allah s.w.t. dari syurga dengan
disertai kutukan dan laknat yang akan melekat kepada dirinya hingga hari Kiamat
kerana kesombongannya dan kebanggaaannya dengan asal-usulnya sehingga ia
menganggap dan memandang rendah kepada Nabi Adam dan menolak untuk sujud
menghormatinya walaupun diperintahkan oleh Allah
s.w.t.